Thursday, July 9, 2009

Pilihan Dalam Hidup...


Saban hari kita perlu membuat pilihan dalam kehidupan. Dari mula mahu mencelikkan mata sehinggalah mahu melelapkan mata, ada saja yang perlu dipilih. Kita perlu memilih nak celik mata pukul berapa....Dah celik mata, nak bangun terus atau nak golek-golek lagi....Dah bangun, nak terus mandi atau berlengah-lengah lagi....Dah mandi, nak pakai baju apa....Dah siap pakai baju, nak sarapan apa...Dah sampai tempat kerja, nak buat kerja yang mana satu...Tengahari fikir lagi nak makan di mana, makan apa, dengan siapa....balik rumah tengok tv nak tengok channel mana...nak makan/masak apa....nak tidur jam berapa....macam-macam pilihan perlu dibuat!!

Sempena bulan Isra' Mi'raj ini, mari kita telusuri kisah tersebut dan cari pengajaran tentang pilihan dalam hidup.

1. Hijrah ke Ta'if
#Andai ada tekanan dalam hidup, pilihlah berhijrah mencari suasana dan kondisi yang lebih tenang.
#Jika sekiranya hijrah tersebut tidak memberikan apa yang kita impikan, pilihlah untuk tidak berputus asa.
#Sentiasalah memilih untuk memaafkan sesiapa sahaja yang menyakiti kita kerana ia adalah kemenangan besar buat kita.

2. Tahun kesedihan
#Pilihlah untuk menghargai hubungan kekeluargaan dan peranan mereka selagi mereka masih ada di sisi.
#Pilihlah untuk mengingati Allah
semasa susah mahu pun senang.

3. Nabi di belah dada
# Sentiasalah memilih untuk menyucikan hati
dari sebarang dosa dan kemaksiatan.
# Pilih perkara-perkara baik sahaja untuk dimasukkan ke dalam hati.

4. Nabi diberikan dua bekas minuman
#Sentiasalah memilih yang fitrah, suci dan bersih.

5. Nabi menaiki buraq
#Pilihlah untuk menghargai masa, bersegera, pantas
melaksanakan segala urusan.

6. Perjalanan isra' dari masjidil haram ke masjidil aqsa
#Pilih untuk menghampirkan diri dan segala segi kehidupan dengan tempat ibadah.
#Pilih untuk meletakkan matlamat ke tanah suci sebagai pelengkap perjalanan hidup.
#Pilih untuk memperjuangkan kebebasan masjidil aqsa dari kekejaman Israel dengan apa jua cara bantuan dan sokongan yang termampu.

7. Perjalanan mi'raj dari masjidil aqsa naik ke langit dan terus ke sidratul muntaha
#Pilih untuk menghormati guru dan pembimbing sebagaimana Nabi menghormati Jibril dan menerima saranannya demi sebuah perjalanan yang baik dan lancar.
#Pilih untuk memberi salam dan meminta izin setiap kali mahu memasuki rumah sendiri apatah lagi rumah orang lain.
#Pilih untuk sentiasa mengambil iktibar dari apa yang diperlihatkan kepada kita saban hari dalam kehidupan.
#Pilih untuk memelihara kemuliaan diri sebagai seorang manusia agar ia sentiasa lebih tinggi darjatnya dari malaikat dan tidak terhina lebih hina dari haiwan.
#Pilih untuk mendengar nasihat dan pandangan baik daripada orang lain serta belajar untuk membuat keputusan sendiri.
#Pilih untuk menjaga solat dalam kehidupan biar sesusah mana sekali pun rintangannya.

8. Nabi menyampaikan berita isra' dan mi'raj kepada umum
#Pilih untuk sentiasa yakin dan percaya pada kebenaran Islam.
#Pilih untuk sentiasa mengharmonikan kekuatan akal dengan kemuliaan wahyu.


Wallahu a'lam.

Tuesday, June 9, 2009

Kalau Dah Jodoh.....

"wedding of the year 2009"

"Ape kabo kome? Lame beno tak dengor ceghiter...ni Ucu nelepon nih nak kabo Ucu nak kawin 7 haghibulan nih. Datang ler yerr"

Isteriku tergamam. Panggilan telefon daripada Ucu (adik arwah bapa mertuaku) di Slim River kali ini benar-benar mengejutkan kami. Kata-katanya menjadi perbincangan hangat dalam keluarga. Cepat sahaja berita ini tersebar. Masing-masing bersungguh-sungguh untuk datang ke majlis perkahwinan Ucu...Kami tertanya-tanya siapa agaknya yang akan menjadi 'Pak Usu' kami. Akhirnya pada 6hb jun kami ke Slim River 2 kereta...Bertolak dari kl jam 4.00 petang, kami tiba di rumah Ucu jam 6.30 petang setelah berhenti menjamu selera di pekan Slim River dan solat Asar.

Malam itu, suasana sangat meriah. Mak mertuaku, isteriku serta adik beradik yang lain mengorek cerita daripada Ucu. Ucu nampak bersahaja, tapi sedikit malu-malu. Mak Yang (kakak Ucu) juga nampak ceria.

Keesokan harinya, majlis berlangsung dengan meriah. Aku dan sepupu-sepupu lelaki yang lain sibuk menjadi penanggah, sementara orang perempuan dengan persiapan di rumah...Ucu hidup bujang bersama Mak Yang dan akhirnya bertemu jodoh setelah usianya menjangkau 60 tahun. Dalam hati kecilku berkata," kalau dah jodoh....". Moga Allah kekalkan jodoh Ucu Halimah dan Pak Usu Jalal sehingga ke akhirat.

Moga juga sesiapa sahaja yang dilanda masalah dalam rumahtangganya, diberikan jalan keluar dan penyelesaian yang terbaik oleh Allah SWT.

Ya Allah, tautkan hatiku dan isteriku dengan tautan mahabbah, mawaddah dan rahmahMu. Jauhkan apa jua perkara yang boleh merosakkan hubungan kami berdua di dunia dan akhirat.

Saturday, May 23, 2009

Train The Trainer


"Good morning, everybody. My name is Shashee. I'm your Course Leader for Train The Trainer"

Itulah kata-kata aluan program yang aku ikuti selama 5 hari baru-baru ini. Ia dikendalikan oleh SHEQ Management Consultant Sdn Bhd. Program ini diiktiraf oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan peserta akan dianugerahkan sebagai Jurulatih Bertauliah PSMB. Program ini berlangsung sepanjang tahun. Sesiapa yang berminat untuk mengikutinya boleh mendapatkan info dalam laman web PSMB.

Untuk kali ini, ia berlangsung di Royale Bintang, Seremban. Aku terpaksa berulang-alik setiap awal pagi dari KL ke Seremban.

Pendedahan dalam program ini melibatkan aspek teori dan praktikal. Ia mampu menambah pengetahuan dan pengalaman dalam bidang latihan dan motivasi. Pada hari keempat dijalankan peperiksaan bertulis dan hari terakhir peserta diuji aspek penyampaian latihan.

Ukhuwwah tetap menjadi perkara manis dalam program ini. Semoga ianya berpanjangan.

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar walaupun aku diuji dengan kesakitan pinggang dan bengkak mata kesan alahan pada pain killer...

Thursday, May 7, 2009

teknologi selamanya alat...


'Seorang tokoh ialah mereka yang mampu menyampaikan ceramah dalam apa jua keadaan. Tokoh tidak akan terikat dengan power point. Dia bukan hamba kepada slaid'

Itulah antara kata-kata mantan Bosku Dato' Aidit Ghazali..baru-baru ini pada 6 & 7 mei 09, aku dijemput untuk menyampaikan sot motivasi kepada pelajar tingkatan 2 SMK Taman Dato' Harun.
Mereka dipecahkan kepada 2 kerana kapasiti yang ramai.

Pada 6hb, pelajar kelas 'awal' mendengar ceramahku. Ceramah berjalan lancar dengan respon daripada mereka juga amat menggalakkan kerana terdiri daripada golongan yang cerdik IQ..Sebelum pulang aku diingatkan oleh Guru Penolong Kanan bahawa slot esok adalah dengan pelajar kelas 'belakang'. Aku akur dan mula menyimpan azam untuk bersedia dengan lebih rapi lagi. Keesokan harinya, 7hb aku ke sana lagi untuk slot yang dijanjikan. Memang nampak perbezaan antara hari ini dan semalam. Mereka agak 'longgar'. Tapi aku segera ingat kepada kata-kata Tony Buzan; 'everybody is born genius'...

Sedang aku baru mula hendak menyusun kata, mencari jalan untuk 'perkaitan' dan mencuri perhatian mereka, tiba-tiba 'black out'! mikrofon tidak berfungsi. Power point padam. Kipas berhenti berputar. Suasana jadi panas. Di sinilah cabaranku bermula..

Ceramah semalam yang memang perlu kepada pancaran slaid kini tidak boleh dilaksanakan. Semua gambaran yang hendak aku tunjukkan mesti diekspresikan dengan body language sahaja..Suara dan penyampaian mesti di'kuat'kan untuk pendengaran dan kefahaman mereka. Segalanya bergantung kepada diriku dan 'modal' yang ada padaku sahaja. Tiada teknologi yang akan membantu....

Segalanya kembali pulih selepas hampir sejam aku menyampaikan ceramah. Dan penutup sahaja barulah aku mampu menunjukkan kepada mereka contoh-contoh slaid yang aku sediakan. Alhamdulillah segalanya selesai dengan kebaikan.

Teringat kembali ulasan Dato' Aidit tentang program ESQ yang aku sertai;

'Andainya Ary Ginanjar mampu menyampaikan ceramah dan slotnya dengan penuh efektif dan kesan yang sama tanpa penggunaan Alat Bantu Mengajar, maka barulah dia seorang tokoh yang hebat'....

Kesimpulannya, teknologi selamanya adalah alat. Ia bukan matlamat. Penyampaian dan diri kita sebenarnya lebih utama. Semoga peristiwa ini mengajarku untuk menjadi lebih 'dewasa' dalam dunia motivasi.

Ya Allah,
Aku sedar bahawa diri ini hanya mampu merancang dan Kaulah Penentu segalanya!

Wednesday, May 6, 2009

"brain" new world.....


'nak pergi ke tidak ye?'
'hajat hati memang nak pergi, tapi....'

Kata hati ini bermain sejak pertama kali mendapat berita tentang kehadiran Tony Buzan untuk program mindmapping di Kuala Lumpur baru-baru ini. Semacam ada pertarungan dalaman antara rasa ingin pergi dengan tidak. Namun, kekuatan diri di samping kesungguhan isteri tercinta memberikan kata-kata perangsang dan rakan seperjuangan, aku gagahkan jua diri dan poket untuk menghadiri program ini.

Sememangnya, pendedahan mindmappingku bermula dengan kehadiran abang Allwee ke AASB. Dia memberikan sentuhan pertama dan ia dibudayakan di AASB. Maka sudah pasti ilmu tentangnya sudah aku miliki. Malah, kesimpulan di akhir program ialah, 'apa yang diajarkan oleh abang Allwee saling tak tumpah seperti apa yang diutarakan oleh Tony Buzan. '

Cuma sudah pasti ada rencah-rencah yang berbeza. Ibarat dua orang yang hendak memasak menu yang sama. Sudah pasti teknik dan caranya berbeza sedikit tetapi hasilnya tetap sama. Beberapa perkara yang ku pelajari dalam program ini ialah:

1. Teknik penyampaian : Tony sangat bersahaja dan kata-katanya tersusun serta jelas.

2. Teknik persembahan : Presentationnya 'lebih banyak grafik dari tulisan'.

3. Lontaran soalannya merupakan jalan untuk mencapai sebuah kesimpulan yang hendak di ketengahkan.

4. Peraturan mindmapping tidak disentuh secara formal, hanya berlaku bilamana aktiviti dijalankan.

Sepanjang program ini juga, ia menjadi medan silaturrahim yang sangat efektif. Aku bertemu dengan rakan sebilik di UKM. Sahabat baruku adalah person inchage untuk Student Affair, Universiti Teknologi Petronas, Shanizam. Malah lunch hari kedua memberikan aku motivasi bilamana seorang senior UKM yang sekarang bertugas di Universiti Malaysia Kelantan mengulas kerjayaku sebagai motivator. Antara kata-katanya ialah :

'be different but relevant'

Aku juga belajar bahawa penguasaan bahasa Inggeris sesuatu yang aku perlukan. Pendedahan program sebegini memang ruang yang baik untuk mengasahnya. Ini kerana rata-rata yang hadir 'speaking london' walaupun berkulit sawo matang!

Ya Allah,
Semoga usaha ini menjadi jalan untuk aku mampu menyebarkan kebaikan kepada masyarakat.

Tuesday, May 5, 2009

'empati' yg sirna....


'Assalamualaikum..'
'Waalaikumussalam'
'Ni datang nak menjemput ni...minggu depan nak buat kenduri kawin anak. Jemputlah semua sekali ye datang...'
'InsyaAllah, terima kasih ye'

Cuti pekerja yang jatuh pada Jumaat baru-baru ini menjadi medan kenduri kahwin berlansung dengan 'meriah'nya. Di kawasan perumahanku sendiri ada 2 kenduri dijalankan. Yang lebih 'menyeronokkan' ialah ia sangat hampir dengan rumahku. Kenduri pertama, selang 3 rumah dari rumahku dan kenduri kedua betul-betul di belakang rumahku.

Kemeriahan memang terasa. Untuk kenduri pertama, rumahku terlibat secara langsung sebagai rumah tumpang untuk meletakkan barang-barang spt kerusi dan tikar. Lebih 'meriah' apabila set p.a system diletakkan berhadapan dengan rumahku dan speakernya di halaman rumahku. Padaku, memang adat untuk kita memberikan ruang dan peluang kepada jiran-jiran untuk menjalankan majlis-majlis tertentu yang memerlukan komitmen kita. Tapi komitmen yang tidak dapat aku tanggung ialah apabila sepanjang 11 pagi sehinggalah lewat 6 petang, aku terpaksa mengalami tempias 'kemeriahan' dj, lagu2 yang diputarkan dan keghairahan pengunjung dan orang ramai yang ingin menunjukkan bakat dalam seni suara...Sekadar berhenti beberapa minit untuk 'menghormati azan' dan 'kemeriahan' terus bersambung...

Esoknya, majlis kenduri di belakang rumah pula berlangsung. Khemah yang dibina menutup laluan masuk ke rumahku. Malah tetamu yang hadir dengan selamba meletakkan kenderaan menutup laluan ke rumahku. Lebih 'menyeronokkan' apabila ada sebuah kereta mewah meletakkan kenderaannya betul-betul di hadapan pintu pagar rumahku sehingga kenderaanku sendiri tidak dapat keluar masuk. Kemeriahan 'seni suara' juga berlangsung sehingga lewat petang, memberikan dendangan yang 'tidak ingin' kita dengar.

Di sebalik kejadian ini, aku terfikir betapa rasa 'empati' yang semakin sirna dalam masyarakat hari ini. Suasana merasa apa yang orang lain akan rasa sudah hilang sama sekali. Ia seolah-olah menjadi budaya yang di'terima' ramai. Lebih menyedihkan bila ianya juga melibatkan aspek ibadah. Lihat saja hari Jumaat ketika solat Jumaat. Sangat ramai yang meletakkan kenderaan sesuka hati tanpa memikirkan rasa orang lain semata-mata atas sandaran ingin beribadah. Berapa ramai pula para remaja yang berjalan di tengah-tengah jalan secara selamba tanpa memikirkan kenderaan yang sepatutnya diberikan laluan. Berapa ramai pula yang sanggup berhenti di depan pagar sekolah dan menanti penuh kasih sayang anaknya keluar untuk pulang sedangkan kenderaan di belakang bersusun tidak dapat meneruskan perjalanan.

Isu ini mesti dipandang serius oleh semua. Sebagai individu, sentiasa kita letakkan persoalan, apa orang lain akan rasa bila kita lakukan sesuatu. Sebagai ibu ayah, berikan didikan rasa itu kepada anak-anak. Mudah-mudahan ia tidak berleluasa dan dapat dibendung segera. Bukankah kita disuruh untuk memastikan bahawa tangan dan kaki kita yakni perbuatan kita tidak menyakiti orang lain? Dan bukankah kasih kepada saudara mesti sampai ke tahap sebagaimana kita kasihkan diri sendiri?

Ya Allah,
Kekalkan rasa 'empati' dalam diriku, kaum keluargaku, anak-anak dan zuriat keturunanku. Semoga kami menjadi mukmin yang tidak menzalimi orang lain kerana ia sama seperti menzalimi diri sendiri...

Sunday, April 19, 2009

Izin ALLAH, asbab dan ikhtiar...

"Assalamualaikum dik, ayah ada?"
"Ada...jap ye"
"Abah, ada 'orang surau' nak jumpa abah"

"Assalamualaikum bang. Kami ni dari surau..baru datang semalam. Ada buat ziarah rumah ke rumah dan program kat surau".
"Kami datang ni atas kalimah 'lailahaillallah' yang ada dalam diri abang dan diri kami. Andai tinggal abang seorang sahaja dalam dunia ni, ALLAH tetap kekalkan dunia sebab kalimah 'lailahaillallah' tu".

"Kita kena ingat, bahawa yang memelihara anak dan isteri bukannya suami, tp ALLAH"
"Bukan peladangan, bisnes dan pekerjaan kita yang menentukan kita susah atau senang, tp ALLAH"
"Jalan dakwah mesti diteruskan bang. Nabi dah takde lagi, kita yang perlu teruskan jalan dakwah ini".
"Jemput ke surau bang, ada majlis ilmu lepas maghrib ni".

Itulah dialog tetamu yang menziarah ke rumah petang semalam. Sepanjang dialog, aku sekadar menjadi pendengar. "Mungkin ini tazkirah dariNYA untukku" bisik hati kecilku.
Namun, kata-kata tetamu itu bermain-main di fikiran. Terasa semacam ada penjelasan dan penerangan tambahan untuk kata-kata mereka itu.

Pada pandanganku, izin ALLAH datang bersama dengan asbab dan ikhtiar. Memang benar segala-galanya adalah atas izin dan kuasa ALLAH. Namun, ALLAH jadikan sebab untuk setiap sesuatu dan DIA berikan kekuatan ikhtiar kepada manusia. Teringat peneranganku dan rakan-rakan tentang beza TAWAKAL (serah diri pada ALLAH tanpa usaha) dan TAWAKKAL (serah diri pada ALLAH setelah berusaha dan berikhtiar)....ALLAH memberi kita rezeki, atas asbab kita mencarinya dan berikhtiar ke arahnya. Tiada rezeki yang datang bergolek serta melayang. ALLAH memelihara rumah, anak dan isteri kita, atas asbab dan ikhtiar kita memberikan bekalan yang cukup, keselamatan yang terbaik seperti kunci rumah dan sebagainya...

Berdakwah memang tugas semua insan yang mengaku beriman kepada ALLAH dan RasulNya. Namun bagiku, jalan dan caranya ada pelbagai. Contoh teladan yang ditunjukkan rasul junjungan membuktikan bahawa jalan dakwah tidak langsung terpisah dengan kehidupan seorang manusia. Rasul menjalankan urusan 'dunia', mengembala, berniaga, menjahit pakaian, berjalan, bergurau, menziarah, bersama isteri, anak-anak, sahabat dan ia seiringan dengan dakwahnya. Langsung tidak terasing. Ia menunjukkan kepada kita bahawa "dakwah adalah kehidupan, dan kehidupan itu dakwah"...


Jadilah apa jua dalam hidup anda, penjual nasi lemak, peniaga air jambu, tukang sapu, guru, kerani, pemandu, motivator, penulis, penyanyi, pelakon, pelawak, pemimpin negara, namun jangan lupa bahawa kita membawa misi dakwah dalam setiap tindakan dan tugas kita. Ia sentiasa seiringan...

Ya Allah, jadikan apa yang aku kerjakan sebagai jalan dakwah..
Wallahu a'lam..