Saturday, May 23, 2009

Train The Trainer


"Good morning, everybody. My name is Shashee. I'm your Course Leader for Train The Trainer"

Itulah kata-kata aluan program yang aku ikuti selama 5 hari baru-baru ini. Ia dikendalikan oleh SHEQ Management Consultant Sdn Bhd. Program ini diiktiraf oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan peserta akan dianugerahkan sebagai Jurulatih Bertauliah PSMB. Program ini berlangsung sepanjang tahun. Sesiapa yang berminat untuk mengikutinya boleh mendapatkan info dalam laman web PSMB.

Untuk kali ini, ia berlangsung di Royale Bintang, Seremban. Aku terpaksa berulang-alik setiap awal pagi dari KL ke Seremban.

Pendedahan dalam program ini melibatkan aspek teori dan praktikal. Ia mampu menambah pengetahuan dan pengalaman dalam bidang latihan dan motivasi. Pada hari keempat dijalankan peperiksaan bertulis dan hari terakhir peserta diuji aspek penyampaian latihan.

Ukhuwwah tetap menjadi perkara manis dalam program ini. Semoga ianya berpanjangan.

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar walaupun aku diuji dengan kesakitan pinggang dan bengkak mata kesan alahan pada pain killer...

Thursday, May 7, 2009

teknologi selamanya alat...


'Seorang tokoh ialah mereka yang mampu menyampaikan ceramah dalam apa jua keadaan. Tokoh tidak akan terikat dengan power point. Dia bukan hamba kepada slaid'

Itulah antara kata-kata mantan Bosku Dato' Aidit Ghazali..baru-baru ini pada 6 & 7 mei 09, aku dijemput untuk menyampaikan sot motivasi kepada pelajar tingkatan 2 SMK Taman Dato' Harun.
Mereka dipecahkan kepada 2 kerana kapasiti yang ramai.

Pada 6hb, pelajar kelas 'awal' mendengar ceramahku. Ceramah berjalan lancar dengan respon daripada mereka juga amat menggalakkan kerana terdiri daripada golongan yang cerdik IQ..Sebelum pulang aku diingatkan oleh Guru Penolong Kanan bahawa slot esok adalah dengan pelajar kelas 'belakang'. Aku akur dan mula menyimpan azam untuk bersedia dengan lebih rapi lagi. Keesokan harinya, 7hb aku ke sana lagi untuk slot yang dijanjikan. Memang nampak perbezaan antara hari ini dan semalam. Mereka agak 'longgar'. Tapi aku segera ingat kepada kata-kata Tony Buzan; 'everybody is born genius'...

Sedang aku baru mula hendak menyusun kata, mencari jalan untuk 'perkaitan' dan mencuri perhatian mereka, tiba-tiba 'black out'! mikrofon tidak berfungsi. Power point padam. Kipas berhenti berputar. Suasana jadi panas. Di sinilah cabaranku bermula..

Ceramah semalam yang memang perlu kepada pancaran slaid kini tidak boleh dilaksanakan. Semua gambaran yang hendak aku tunjukkan mesti diekspresikan dengan body language sahaja..Suara dan penyampaian mesti di'kuat'kan untuk pendengaran dan kefahaman mereka. Segalanya bergantung kepada diriku dan 'modal' yang ada padaku sahaja. Tiada teknologi yang akan membantu....

Segalanya kembali pulih selepas hampir sejam aku menyampaikan ceramah. Dan penutup sahaja barulah aku mampu menunjukkan kepada mereka contoh-contoh slaid yang aku sediakan. Alhamdulillah segalanya selesai dengan kebaikan.

Teringat kembali ulasan Dato' Aidit tentang program ESQ yang aku sertai;

'Andainya Ary Ginanjar mampu menyampaikan ceramah dan slotnya dengan penuh efektif dan kesan yang sama tanpa penggunaan Alat Bantu Mengajar, maka barulah dia seorang tokoh yang hebat'....

Kesimpulannya, teknologi selamanya adalah alat. Ia bukan matlamat. Penyampaian dan diri kita sebenarnya lebih utama. Semoga peristiwa ini mengajarku untuk menjadi lebih 'dewasa' dalam dunia motivasi.

Ya Allah,
Aku sedar bahawa diri ini hanya mampu merancang dan Kaulah Penentu segalanya!

Wednesday, May 6, 2009

"brain" new world.....


'nak pergi ke tidak ye?'
'hajat hati memang nak pergi, tapi....'

Kata hati ini bermain sejak pertama kali mendapat berita tentang kehadiran Tony Buzan untuk program mindmapping di Kuala Lumpur baru-baru ini. Semacam ada pertarungan dalaman antara rasa ingin pergi dengan tidak. Namun, kekuatan diri di samping kesungguhan isteri tercinta memberikan kata-kata perangsang dan rakan seperjuangan, aku gagahkan jua diri dan poket untuk menghadiri program ini.

Sememangnya, pendedahan mindmappingku bermula dengan kehadiran abang Allwee ke AASB. Dia memberikan sentuhan pertama dan ia dibudayakan di AASB. Maka sudah pasti ilmu tentangnya sudah aku miliki. Malah, kesimpulan di akhir program ialah, 'apa yang diajarkan oleh abang Allwee saling tak tumpah seperti apa yang diutarakan oleh Tony Buzan. '

Cuma sudah pasti ada rencah-rencah yang berbeza. Ibarat dua orang yang hendak memasak menu yang sama. Sudah pasti teknik dan caranya berbeza sedikit tetapi hasilnya tetap sama. Beberapa perkara yang ku pelajari dalam program ini ialah:

1. Teknik penyampaian : Tony sangat bersahaja dan kata-katanya tersusun serta jelas.

2. Teknik persembahan : Presentationnya 'lebih banyak grafik dari tulisan'.

3. Lontaran soalannya merupakan jalan untuk mencapai sebuah kesimpulan yang hendak di ketengahkan.

4. Peraturan mindmapping tidak disentuh secara formal, hanya berlaku bilamana aktiviti dijalankan.

Sepanjang program ini juga, ia menjadi medan silaturrahim yang sangat efektif. Aku bertemu dengan rakan sebilik di UKM. Sahabat baruku adalah person inchage untuk Student Affair, Universiti Teknologi Petronas, Shanizam. Malah lunch hari kedua memberikan aku motivasi bilamana seorang senior UKM yang sekarang bertugas di Universiti Malaysia Kelantan mengulas kerjayaku sebagai motivator. Antara kata-katanya ialah :

'be different but relevant'

Aku juga belajar bahawa penguasaan bahasa Inggeris sesuatu yang aku perlukan. Pendedahan program sebegini memang ruang yang baik untuk mengasahnya. Ini kerana rata-rata yang hadir 'speaking london' walaupun berkulit sawo matang!

Ya Allah,
Semoga usaha ini menjadi jalan untuk aku mampu menyebarkan kebaikan kepada masyarakat.

Tuesday, May 5, 2009

'empati' yg sirna....


'Assalamualaikum..'
'Waalaikumussalam'
'Ni datang nak menjemput ni...minggu depan nak buat kenduri kawin anak. Jemputlah semua sekali ye datang...'
'InsyaAllah, terima kasih ye'

Cuti pekerja yang jatuh pada Jumaat baru-baru ini menjadi medan kenduri kahwin berlansung dengan 'meriah'nya. Di kawasan perumahanku sendiri ada 2 kenduri dijalankan. Yang lebih 'menyeronokkan' ialah ia sangat hampir dengan rumahku. Kenduri pertama, selang 3 rumah dari rumahku dan kenduri kedua betul-betul di belakang rumahku.

Kemeriahan memang terasa. Untuk kenduri pertama, rumahku terlibat secara langsung sebagai rumah tumpang untuk meletakkan barang-barang spt kerusi dan tikar. Lebih 'meriah' apabila set p.a system diletakkan berhadapan dengan rumahku dan speakernya di halaman rumahku. Padaku, memang adat untuk kita memberikan ruang dan peluang kepada jiran-jiran untuk menjalankan majlis-majlis tertentu yang memerlukan komitmen kita. Tapi komitmen yang tidak dapat aku tanggung ialah apabila sepanjang 11 pagi sehinggalah lewat 6 petang, aku terpaksa mengalami tempias 'kemeriahan' dj, lagu2 yang diputarkan dan keghairahan pengunjung dan orang ramai yang ingin menunjukkan bakat dalam seni suara...Sekadar berhenti beberapa minit untuk 'menghormati azan' dan 'kemeriahan' terus bersambung...

Esoknya, majlis kenduri di belakang rumah pula berlangsung. Khemah yang dibina menutup laluan masuk ke rumahku. Malah tetamu yang hadir dengan selamba meletakkan kenderaan menutup laluan ke rumahku. Lebih 'menyeronokkan' apabila ada sebuah kereta mewah meletakkan kenderaannya betul-betul di hadapan pintu pagar rumahku sehingga kenderaanku sendiri tidak dapat keluar masuk. Kemeriahan 'seni suara' juga berlangsung sehingga lewat petang, memberikan dendangan yang 'tidak ingin' kita dengar.

Di sebalik kejadian ini, aku terfikir betapa rasa 'empati' yang semakin sirna dalam masyarakat hari ini. Suasana merasa apa yang orang lain akan rasa sudah hilang sama sekali. Ia seolah-olah menjadi budaya yang di'terima' ramai. Lebih menyedihkan bila ianya juga melibatkan aspek ibadah. Lihat saja hari Jumaat ketika solat Jumaat. Sangat ramai yang meletakkan kenderaan sesuka hati tanpa memikirkan rasa orang lain semata-mata atas sandaran ingin beribadah. Berapa ramai pula para remaja yang berjalan di tengah-tengah jalan secara selamba tanpa memikirkan kenderaan yang sepatutnya diberikan laluan. Berapa ramai pula yang sanggup berhenti di depan pagar sekolah dan menanti penuh kasih sayang anaknya keluar untuk pulang sedangkan kenderaan di belakang bersusun tidak dapat meneruskan perjalanan.

Isu ini mesti dipandang serius oleh semua. Sebagai individu, sentiasa kita letakkan persoalan, apa orang lain akan rasa bila kita lakukan sesuatu. Sebagai ibu ayah, berikan didikan rasa itu kepada anak-anak. Mudah-mudahan ia tidak berleluasa dan dapat dibendung segera. Bukankah kita disuruh untuk memastikan bahawa tangan dan kaki kita yakni perbuatan kita tidak menyakiti orang lain? Dan bukankah kasih kepada saudara mesti sampai ke tahap sebagaimana kita kasihkan diri sendiri?

Ya Allah,
Kekalkan rasa 'empati' dalam diriku, kaum keluargaku, anak-anak dan zuriat keturunanku. Semoga kami menjadi mukmin yang tidak menzalimi orang lain kerana ia sama seperti menzalimi diri sendiri...