Tuesday, May 5, 2009

'empati' yg sirna....


'Assalamualaikum..'
'Waalaikumussalam'
'Ni datang nak menjemput ni...minggu depan nak buat kenduri kawin anak. Jemputlah semua sekali ye datang...'
'InsyaAllah, terima kasih ye'

Cuti pekerja yang jatuh pada Jumaat baru-baru ini menjadi medan kenduri kahwin berlansung dengan 'meriah'nya. Di kawasan perumahanku sendiri ada 2 kenduri dijalankan. Yang lebih 'menyeronokkan' ialah ia sangat hampir dengan rumahku. Kenduri pertama, selang 3 rumah dari rumahku dan kenduri kedua betul-betul di belakang rumahku.

Kemeriahan memang terasa. Untuk kenduri pertama, rumahku terlibat secara langsung sebagai rumah tumpang untuk meletakkan barang-barang spt kerusi dan tikar. Lebih 'meriah' apabila set p.a system diletakkan berhadapan dengan rumahku dan speakernya di halaman rumahku. Padaku, memang adat untuk kita memberikan ruang dan peluang kepada jiran-jiran untuk menjalankan majlis-majlis tertentu yang memerlukan komitmen kita. Tapi komitmen yang tidak dapat aku tanggung ialah apabila sepanjang 11 pagi sehinggalah lewat 6 petang, aku terpaksa mengalami tempias 'kemeriahan' dj, lagu2 yang diputarkan dan keghairahan pengunjung dan orang ramai yang ingin menunjukkan bakat dalam seni suara...Sekadar berhenti beberapa minit untuk 'menghormati azan' dan 'kemeriahan' terus bersambung...

Esoknya, majlis kenduri di belakang rumah pula berlangsung. Khemah yang dibina menutup laluan masuk ke rumahku. Malah tetamu yang hadir dengan selamba meletakkan kenderaan menutup laluan ke rumahku. Lebih 'menyeronokkan' apabila ada sebuah kereta mewah meletakkan kenderaannya betul-betul di hadapan pintu pagar rumahku sehingga kenderaanku sendiri tidak dapat keluar masuk. Kemeriahan 'seni suara' juga berlangsung sehingga lewat petang, memberikan dendangan yang 'tidak ingin' kita dengar.

Di sebalik kejadian ini, aku terfikir betapa rasa 'empati' yang semakin sirna dalam masyarakat hari ini. Suasana merasa apa yang orang lain akan rasa sudah hilang sama sekali. Ia seolah-olah menjadi budaya yang di'terima' ramai. Lebih menyedihkan bila ianya juga melibatkan aspek ibadah. Lihat saja hari Jumaat ketika solat Jumaat. Sangat ramai yang meletakkan kenderaan sesuka hati tanpa memikirkan rasa orang lain semata-mata atas sandaran ingin beribadah. Berapa ramai pula para remaja yang berjalan di tengah-tengah jalan secara selamba tanpa memikirkan kenderaan yang sepatutnya diberikan laluan. Berapa ramai pula yang sanggup berhenti di depan pagar sekolah dan menanti penuh kasih sayang anaknya keluar untuk pulang sedangkan kenderaan di belakang bersusun tidak dapat meneruskan perjalanan.

Isu ini mesti dipandang serius oleh semua. Sebagai individu, sentiasa kita letakkan persoalan, apa orang lain akan rasa bila kita lakukan sesuatu. Sebagai ibu ayah, berikan didikan rasa itu kepada anak-anak. Mudah-mudahan ia tidak berleluasa dan dapat dibendung segera. Bukankah kita disuruh untuk memastikan bahawa tangan dan kaki kita yakni perbuatan kita tidak menyakiti orang lain? Dan bukankah kasih kepada saudara mesti sampai ke tahap sebagaimana kita kasihkan diri sendiri?

Ya Allah,
Kekalkan rasa 'empati' dalam diriku, kaum keluargaku, anak-anak dan zuriat keturunanku. Semoga kami menjadi mukmin yang tidak menzalimi orang lain kerana ia sama seperti menzalimi diri sendiri...

3 comments:

Nik Zulina said...

Salam kenal..
Setuju 100% bahawa masy la ni memang tak ada empathy .. Mohon tunjuk ajar macam mana nak masukkan jam, bil pengunjung dan tarikh dalam blog?

idz_nsh said...

Salam kenal...

klik pada layout, klik add a gadget, klik pada html, copy address apa2 yang hendak ditambah cth : jam, kalendar dsbnya...

Antara Mata, Hati dan Minda Perkasa said...

Salam Sifu Idzhar,

Bukan sahaja masyarakat sekarang hilang empati malah hilang juga "common sense". Masyarakat menjauhi konsep berfikir tetapi meledakkan emosi dan khayal dalam dunia musik, mewah dan hiburan melampau...