Wednesday, May 6, 2009

"brain" new world.....


'nak pergi ke tidak ye?'
'hajat hati memang nak pergi, tapi....'

Kata hati ini bermain sejak pertama kali mendapat berita tentang kehadiran Tony Buzan untuk program mindmapping di Kuala Lumpur baru-baru ini. Semacam ada pertarungan dalaman antara rasa ingin pergi dengan tidak. Namun, kekuatan diri di samping kesungguhan isteri tercinta memberikan kata-kata perangsang dan rakan seperjuangan, aku gagahkan jua diri dan poket untuk menghadiri program ini.

Sememangnya, pendedahan mindmappingku bermula dengan kehadiran abang Allwee ke AASB. Dia memberikan sentuhan pertama dan ia dibudayakan di AASB. Maka sudah pasti ilmu tentangnya sudah aku miliki. Malah, kesimpulan di akhir program ialah, 'apa yang diajarkan oleh abang Allwee saling tak tumpah seperti apa yang diutarakan oleh Tony Buzan. '

Cuma sudah pasti ada rencah-rencah yang berbeza. Ibarat dua orang yang hendak memasak menu yang sama. Sudah pasti teknik dan caranya berbeza sedikit tetapi hasilnya tetap sama. Beberapa perkara yang ku pelajari dalam program ini ialah:

1. Teknik penyampaian : Tony sangat bersahaja dan kata-katanya tersusun serta jelas.

2. Teknik persembahan : Presentationnya 'lebih banyak grafik dari tulisan'.

3. Lontaran soalannya merupakan jalan untuk mencapai sebuah kesimpulan yang hendak di ketengahkan.

4. Peraturan mindmapping tidak disentuh secara formal, hanya berlaku bilamana aktiviti dijalankan.

Sepanjang program ini juga, ia menjadi medan silaturrahim yang sangat efektif. Aku bertemu dengan rakan sebilik di UKM. Sahabat baruku adalah person inchage untuk Student Affair, Universiti Teknologi Petronas, Shanizam. Malah lunch hari kedua memberikan aku motivasi bilamana seorang senior UKM yang sekarang bertugas di Universiti Malaysia Kelantan mengulas kerjayaku sebagai motivator. Antara kata-katanya ialah :

'be different but relevant'

Aku juga belajar bahawa penguasaan bahasa Inggeris sesuatu yang aku perlukan. Pendedahan program sebegini memang ruang yang baik untuk mengasahnya. Ini kerana rata-rata yang hadir 'speaking london' walaupun berkulit sawo matang!

Ya Allah,
Semoga usaha ini menjadi jalan untuk aku mampu menyebarkan kebaikan kepada masyarakat.

Tuesday, May 5, 2009

'empati' yg sirna....


'Assalamualaikum..'
'Waalaikumussalam'
'Ni datang nak menjemput ni...minggu depan nak buat kenduri kawin anak. Jemputlah semua sekali ye datang...'
'InsyaAllah, terima kasih ye'

Cuti pekerja yang jatuh pada Jumaat baru-baru ini menjadi medan kenduri kahwin berlansung dengan 'meriah'nya. Di kawasan perumahanku sendiri ada 2 kenduri dijalankan. Yang lebih 'menyeronokkan' ialah ia sangat hampir dengan rumahku. Kenduri pertama, selang 3 rumah dari rumahku dan kenduri kedua betul-betul di belakang rumahku.

Kemeriahan memang terasa. Untuk kenduri pertama, rumahku terlibat secara langsung sebagai rumah tumpang untuk meletakkan barang-barang spt kerusi dan tikar. Lebih 'meriah' apabila set p.a system diletakkan berhadapan dengan rumahku dan speakernya di halaman rumahku. Padaku, memang adat untuk kita memberikan ruang dan peluang kepada jiran-jiran untuk menjalankan majlis-majlis tertentu yang memerlukan komitmen kita. Tapi komitmen yang tidak dapat aku tanggung ialah apabila sepanjang 11 pagi sehinggalah lewat 6 petang, aku terpaksa mengalami tempias 'kemeriahan' dj, lagu2 yang diputarkan dan keghairahan pengunjung dan orang ramai yang ingin menunjukkan bakat dalam seni suara...Sekadar berhenti beberapa minit untuk 'menghormati azan' dan 'kemeriahan' terus bersambung...

Esoknya, majlis kenduri di belakang rumah pula berlangsung. Khemah yang dibina menutup laluan masuk ke rumahku. Malah tetamu yang hadir dengan selamba meletakkan kenderaan menutup laluan ke rumahku. Lebih 'menyeronokkan' apabila ada sebuah kereta mewah meletakkan kenderaannya betul-betul di hadapan pintu pagar rumahku sehingga kenderaanku sendiri tidak dapat keluar masuk. Kemeriahan 'seni suara' juga berlangsung sehingga lewat petang, memberikan dendangan yang 'tidak ingin' kita dengar.

Di sebalik kejadian ini, aku terfikir betapa rasa 'empati' yang semakin sirna dalam masyarakat hari ini. Suasana merasa apa yang orang lain akan rasa sudah hilang sama sekali. Ia seolah-olah menjadi budaya yang di'terima' ramai. Lebih menyedihkan bila ianya juga melibatkan aspek ibadah. Lihat saja hari Jumaat ketika solat Jumaat. Sangat ramai yang meletakkan kenderaan sesuka hati tanpa memikirkan rasa orang lain semata-mata atas sandaran ingin beribadah. Berapa ramai pula para remaja yang berjalan di tengah-tengah jalan secara selamba tanpa memikirkan kenderaan yang sepatutnya diberikan laluan. Berapa ramai pula yang sanggup berhenti di depan pagar sekolah dan menanti penuh kasih sayang anaknya keluar untuk pulang sedangkan kenderaan di belakang bersusun tidak dapat meneruskan perjalanan.

Isu ini mesti dipandang serius oleh semua. Sebagai individu, sentiasa kita letakkan persoalan, apa orang lain akan rasa bila kita lakukan sesuatu. Sebagai ibu ayah, berikan didikan rasa itu kepada anak-anak. Mudah-mudahan ia tidak berleluasa dan dapat dibendung segera. Bukankah kita disuruh untuk memastikan bahawa tangan dan kaki kita yakni perbuatan kita tidak menyakiti orang lain? Dan bukankah kasih kepada saudara mesti sampai ke tahap sebagaimana kita kasihkan diri sendiri?

Ya Allah,
Kekalkan rasa 'empati' dalam diriku, kaum keluargaku, anak-anak dan zuriat keturunanku. Semoga kami menjadi mukmin yang tidak menzalimi orang lain kerana ia sama seperti menzalimi diri sendiri...

Sunday, April 19, 2009

Izin ALLAH, asbab dan ikhtiar...

"Assalamualaikum dik, ayah ada?"
"Ada...jap ye"
"Abah, ada 'orang surau' nak jumpa abah"

"Assalamualaikum bang. Kami ni dari surau..baru datang semalam. Ada buat ziarah rumah ke rumah dan program kat surau".
"Kami datang ni atas kalimah 'lailahaillallah' yang ada dalam diri abang dan diri kami. Andai tinggal abang seorang sahaja dalam dunia ni, ALLAH tetap kekalkan dunia sebab kalimah 'lailahaillallah' tu".

"Kita kena ingat, bahawa yang memelihara anak dan isteri bukannya suami, tp ALLAH"
"Bukan peladangan, bisnes dan pekerjaan kita yang menentukan kita susah atau senang, tp ALLAH"
"Jalan dakwah mesti diteruskan bang. Nabi dah takde lagi, kita yang perlu teruskan jalan dakwah ini".
"Jemput ke surau bang, ada majlis ilmu lepas maghrib ni".

Itulah dialog tetamu yang menziarah ke rumah petang semalam. Sepanjang dialog, aku sekadar menjadi pendengar. "Mungkin ini tazkirah dariNYA untukku" bisik hati kecilku.
Namun, kata-kata tetamu itu bermain-main di fikiran. Terasa semacam ada penjelasan dan penerangan tambahan untuk kata-kata mereka itu.

Pada pandanganku, izin ALLAH datang bersama dengan asbab dan ikhtiar. Memang benar segala-galanya adalah atas izin dan kuasa ALLAH. Namun, ALLAH jadikan sebab untuk setiap sesuatu dan DIA berikan kekuatan ikhtiar kepada manusia. Teringat peneranganku dan rakan-rakan tentang beza TAWAKAL (serah diri pada ALLAH tanpa usaha) dan TAWAKKAL (serah diri pada ALLAH setelah berusaha dan berikhtiar)....ALLAH memberi kita rezeki, atas asbab kita mencarinya dan berikhtiar ke arahnya. Tiada rezeki yang datang bergolek serta melayang. ALLAH memelihara rumah, anak dan isteri kita, atas asbab dan ikhtiar kita memberikan bekalan yang cukup, keselamatan yang terbaik seperti kunci rumah dan sebagainya...

Berdakwah memang tugas semua insan yang mengaku beriman kepada ALLAH dan RasulNya. Namun bagiku, jalan dan caranya ada pelbagai. Contoh teladan yang ditunjukkan rasul junjungan membuktikan bahawa jalan dakwah tidak langsung terpisah dengan kehidupan seorang manusia. Rasul menjalankan urusan 'dunia', mengembala, berniaga, menjahit pakaian, berjalan, bergurau, menziarah, bersama isteri, anak-anak, sahabat dan ia seiringan dengan dakwahnya. Langsung tidak terasing. Ia menunjukkan kepada kita bahawa "dakwah adalah kehidupan, dan kehidupan itu dakwah"...


Jadilah apa jua dalam hidup anda, penjual nasi lemak, peniaga air jambu, tukang sapu, guru, kerani, pemandu, motivator, penulis, penyanyi, pelakon, pelawak, pemimpin negara, namun jangan lupa bahawa kita membawa misi dakwah dalam setiap tindakan dan tugas kita. Ia sentiasa seiringan...

Ya Allah, jadikan apa yang aku kerjakan sebagai jalan dakwah..
Wallahu a'lam..

Friday, April 17, 2009

Mengorak Langkah....

Atas usaha kerdil dan bantuan besar dariNYA, Selfcure Resources telah menjalankan program-program yang tertumpu di sekolah-sekolah. Syukur Alhamdulillah....

Program 1 :

Motivasi UPSR @ Sekolah Kebangsaan Putrajaya 1, presint 8


Program 2 :

Kem Muslim Cemerlang @ SMK Puchong Perdana


Program 3 :

Kem Kepimpinan Cemerlang @ SK Sg Serai


Ya Allah, jadikan aku insan yang menghayati maksud ayat2Mu ini :

"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya akan diberikan jalan keluar (dari setiap permasalahannya) dan dia akan dikurniakan rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka"

Wednesday, April 8, 2009

Hijrah ke-2...


Atas rasa tidak selesa dengan apa yang aku lalui, setelah berfikir panjang, dan bertanyakan pendapat rakan-rakan seperjuangan...maka aku mengambil keputusan untuk meninggalkan NICE dan bergerak sendirian atas nama SELFCURE RESOURCES....

Sesiapa yang ingin menjemput saya untuk program-program motivasi dan pembinaan diri, boleh terus berhubung dengan saya di sini....

Ya Allah, permudahkan urusanku, jangan kau susahkan urusanku dan sempurnakanlah setiap urusanku dengan kebaikan.....

Monday, April 6, 2009

sesuatu yg sangat hampir dengan kita...

KHAMIS 2 April 2009

"hello, assalamualaikum, along".
"waalaikumussalam ibu'.
"kat mana?"
"ada program kat SMK Puchong Perdana, bu. Kenapa?".
"nak bagitau, Wak Hamid meninggal pagi ni..."

SABTU 4 April 2009

"hello, assalamualaikum".
"waalaikumussalam".
"iki Kang Sahid, seko Kg Soeharto. Bojoku wes ninggal".
"yo, kang. Nnti nyong kaie tau Jumali. sabar yo kang".


Minggu ini aku dikejutkan dengan 2 kematian saudara. Kedua-duanya sempat aku ziarahi. Arwah Wak Hamid di Kg Batu Muda, isteri Wak Sahid di Kg Soeharto..

Memang hikmah besar menziarahi kematian adalah suatu iktibar untuk kita agar sentiasa merasakan bahawa mati itu terlalu hampir dengan kita. Bekalan apa yang hendak dibawa? Andai mati itu tiba sekarang, sudahkah kita bersedia?

Ya Allah, ampunkanlah segala dosaku, dosa kedua ibubapaku, adik-beradikku, kaum keluargaku, isteri serta zuriat keturunanku...
Cucurilah rahmatMu ke atas mereka-mereka yang telah pergi dahulu daripadaku. Tempatkan mereka di sisi hamba-hambaMu yang soleh dan solehah...

Thursday, March 19, 2009

RAJA DALAM DIRI


"Eh, selipar aku takde..Rasanya tadi letak kat sini. Alamak, camner ni?"

"Belasah jelah selipar sesapa..Sape suruh ambik selipar aku.."

"Eh, jangan. Tu selipar orang. Mana boleh amik selipar orang. Balik kaki ayam jelah"

"Gila ke? Panas terik nih, kotor pulak tuh. Amik je, selipar sesapa. Kalau tak pun amik je terompah masjid tuh."

"Jangan, tak baik."

Aku yakin, setiap orang pasti pernah melalui situasi ini. Entah daripada mana datangnya suara itu, tetapi ia sentiasa membisik kepada kita untuk menentukan pilihan tindakan kita. Pertarungan itu sering berlaku dalam diri kita. Kadangkala yang 'putih' menang, kadangkala pula si 'merah' menguasai. Tapi itulah hakikatnya dalam kehidupan.."Kata HATI" sering mengiangkan kita dan membisikkan sesuatu.

Kebelakangan ini, aku sering dihantui bisikan tersebut. Entah kenapa ada rasa tidak selesa dalam hati yang sentiasa membisik kepadaku. Aku mula rasa tidak enak dan berfikir panjang dengan apa yang aku lalui sekarang. Malam ini rasa itu menjadi semakin kuat...Aku perlu lakukan sesuatu untuk masa depanku..Ini kerana aku teringat salah satu kaedah untuk menjadi 'magnet' yang hebat agar dapat menarik perkara baik dalam diri yang dinukilkan dalam buku THE SECRETS...

"jadikan indeks rasa tenang hati untuk menentukan benar atau salahnya tindakanmu"

Andai hati tidak tenang, pasti ada yang tidak kena dengan apa yang kita sedang lakukan. Nabi SAW sendiri menyatakan bahawa untuk mengetahui sesuatu perkara itu dosa atau tidak, cukuplah hati menjadi penentu awalnya...

Ya, ALLAH, aku cukup tidak tenang dengan situasi sekarang...Bimbinglah daku, pimpinlah daku ke jalan lurusMU.....