Wednesday, October 29, 2008

REMAJA @ ikim.fm (29 Okt 2008)


Alhamdulillah, akhirnya setelah 2 bulan tidak dapat menghadirkan diri untuk slot REMAJA atas kesibukan yang 'super', bulan ini aku berjaya muncul secara 'live' di ikim.fm. Bersama dj Fairuz, kami mengisi slot tersebut dengan perbincangan tentang MASA. Untuk pengetahuan semua, slot REMAJA adalah salah satu slot di ikim.fm yang dilaksanakan setiap Rabu jam 3.15-3.45pm..Mengikut jadual asal, slot yang saya isi adalah setiap Rabu minggu kedua..namun, fleksibiliti diberikan seandainya ada kekangan yang mendatang...

INTIPATI
Tajuk : MASA
Ibrah : Kisah perpindahan istana Balqis

(38) Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): "Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?"(39) Berkatalah Ifrit dari golongan jin: "Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah".(40) Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah".

(An-Naml : 38-40)




Iktibar 1

Manusia makhluk ciptaan yang mulia. Kemuliaannya kerana 2 status iaitu sebagai HAMBA dan KHALIFAH. Kekalkan kemuliaan itu dengan terus menjaga 2 status tersebut.

(39) Berkatalah Ifrit dari golongan jin: "Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah".(40) Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!"

Iktibar 2
Dalam urusan pentadbiran, malah dalam apa jua keadaan, persoalan masa amat penting dititikberatkan. Keprihatinan terhadap kepentingan masa akan menyebabkan seseorang itu terpanggil untuk mengurus segala aktiviti yang ingin dijalankan. Pengurusan aktiviti yang berkualiti pula tidak boleh berpegang kepada cogankata biar lambat asal selamat tetapi mestilah memenuhi prasyarat 3C berikut:

1. CEPAT.
Kecepatan dalam melaksanakan sesuatu tugasan amat penting. Pepatah Arab menyatakan bahawa masa itu ibarat pedang, sekiranya kita tidak memotongnya, ia akan memotong kita. Ini tidaklah bermaksud bahawa kita melakukannya dengan tergopoh-gapah atau gelojoh. Sebaliknya, orang yang cepat adalah mereka yang pandai menggunakan peluang dan ruang yang ada serta meletakkan susunan keutamaan dalam setiap tindakannya. Sandarannya adalah pada cogankata first thing first. Ini kerana orang yang berjaya adalah mereka yang tidak menangguhkan apa yang boleh dilakukan hari ini sehingga ke hari esok.

2. CEKAP.
Dalam pengurusan aktiviti, kecekapan memainkan peranan penting bagi memastikan bahawa setiap yang dilaksanakan akan dapat diuruskan dalam masa yang singkat. Sementara kecekapan pula tidak dapat dipisahkan dengan kepakaran. Hanya pakar sahaja yang akan dapat melaksanakan tugasan dengan cekap. Maknanya, untuk mendapatkan hasil yang baik dan cekap, serahkan segalanya kepada yang pakar.

3. CERMAT.
Cermat membawa erti teliti. Ketelitian adalah kunci utama mencapai kualiti. Kualiti yang membezakan tahap pencapaian pengurusan aktiviti. Pengurusan aktiviti yang cemerlang adalah yang mementingkan kecepatan masa, kecekapan pelaksanaan dan juga ketelitian kualiti.




Iktibar 3

Bersyukur adalah cara setiap insan untuk menghargai pemberian ALLAH. Tanda syukur terhadap anugerah masa adalah dengan menggunakannya sebaik mungkin.

Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah".
Ya ALLAH, semoga diri ini sentiasa mampu menguruskan masa dan bersyukur terhadap pemberianMu..

No comments: